
SIBU: Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh, telus dan profesional berhubung satu kes yang tular di media sosial melibatkan dakwaan pengabaian dan penganiayaan terhadap seorang wanita.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu telah mengesan satu hantaran yang tular di media sosial Facebook berkaitan dakwaan kes pengabaian dan penganiayaan berkenaan.
“Pada 9 Disember 2025 lebih kurang 10.00 pagi, pihak polis telah menerima satu laporan daripada seorang pengadu wanita tempatan yang memaklumkan bahawa dirinya telah menjadi mangsa pengabaian dan penganiayaan oleh ahli keluarganya sendiri sejak tahun 2013,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan laporan yang diterima, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan dan menjalankan siasatan awal termasuk mendapatkan keterangan daripada pengadu serta pihak-pihak berkaitan bagi mengenal pasti fakta sebenar kejadian.
“Kes ini disiasat di bawah Deksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Zulkipli menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan serta sensitiviti kes yang melibatkan kanak-kanak.
Oleh Akun Giman