SEOUL, Korea Selatan: Polis menyerbu pejabat Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung proses pelantikan jurulatih yang mengendalikan pasukan kebangsaan itu ketika kempen Piala Dunia yang mengecewakan.
Polis menjalankan “operasi penggeledahan dan penyitaan” di pejabat KFA bagi menyiasat dakwaan “menghalang urusan kerja” berkaitan proses pengambilan bekas jurulatih, Hong Myung-bo, menurut jurucakap polis kepada AFP.
Hong, 57, meletakkan jawatan pada Jun selepas Korea Selatan tersingkir di peringkat kumpulan dalam kejohanan membabitkan 48 pasukan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, susulan kekalahan mengejut 1-0 kepada Afrika Selatan.
Kontroversi berhubung pelantikan Hong pada 2024 sudah lama membelenggu KFA, namun tekanan terhadap badan bola sepak itu semakin meningkat selepas pasukan berkenaan gagal melangkah ke pusingan kalah mati.
Polis Seoul berkata, penyiasat jenayah kewangan sedang meneliti sama ada wujud unsur kesalahan menghalang urusan kerja dalam proses pelantikan Hong Myung-bo.

Media tempatan melaporkan pihak berkuasa turut menyiasat dakwaan bahawa pegawai kanan KFA campur tangan secara tidak wajar dalam pelantikan Hong, yang didakwa melanggar peraturan dalaman persatuan berkenaan.
Skuad Korea Selatan bagi Piala Dunia 2026 sebelum ini dilabel media tempatan sebagai “generasi emas”, dengan harapan tinggi disandarkan kepada pasukan yang dibarisi bekas bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min, pertahanan Bayern Munich, Kim Min-jae, serta bekas pemain tengah Paris Saint-Germain, Lee Kang-in.
Pada akhir Julai, Hong dipanggil menghadap jawatankuasa ahli Parlimen dan menyatakan beliau mengambil “tanggungjawab sepenuhnya” terhadap prestasi buruk pasukan itu.
Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, menyifatkan kegagalan berkenaan berpunca daripada “individu tidak cekap” yang dilantik ke jawatan kepimpinan, sambil merujuk kepada isu “kesetiaan dan puak” yang menjejaskan proses pelantikan dalam badan tertinggi bola sepak negara itu.
KFA enggan mengulas ketika dihubungi AFP.
Keputusan Hong mengetepikan Son pada separuh masa pertama dalam perlawanan penentuan menentang Afrika Selatan di Piala Dunia mencetuskan kekeliruan dan kemarahan dalam kalangan penyokong.
Pada Jun, penyokong Korea Selatan menyambut kepulangan Hong dari Piala Dunia dengan sorakan bantahan serta laungan “Hong keluar!”, manakala pemain yang muncul di belakangnya di lapangan terbang menerima tepukan.
Hong mengakui beliau masih cuba memahami punca kegagalan pasukan itu.
Dalam pendengaran Parlimen bulan lalu, ahli Parlimen turut membangkitkan dakwaan bahawa Hong menerima gaji berjumlah 3.8 bilion won (AS$2.6 juta), yang dilaporkan antara bayaran tertinggi bagi jurulatih pasukan kebangsaan.
Hong berkata jumlah berkenaan tidak tepat, namun enggan mendedahkan nilai sebenar gajinya.





