
SELANGAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di tepi Lebuh Raya Pan Borneo Sibu–Bintulu, di Selangau, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 31 tahun itu, ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah dalam serbuan sekitar 3.00 petang.
“Pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai satu keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu dalam simpanan suspek. Anggaran berat dadah yang dijumpai adalah 0.41 gram dengan anggaran nilai RM110,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Katanya, suspek dan barang kes di bawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut, ujian urin mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek yang bekerja sebagai buruh binaan direman selama empat hari sehingga 27 Disember ini bagi melengkapkan siasatan,” tegasnya.
Beliau menegaskan IPD Mukah komited dalam usaha untuk membanteras segala aktiviti penyalahgunaan dadah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktivitipenyalahgunaan dadah boleh menghubungi talian hotline IPD Mukah 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Akun Giman