SIMUNJAN: Kerjasama antara pihak polis, sekolah dan ibu bapa perlu terus diperkasa bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan golongan pelajar sentiasa terpelihara, khususnya dalam menghadapi pelbagai cabaran jenayah dan sosial semasa.
Sehubungan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan menjayakan Program Sinergi Pendidik dan Polis Simunjan (SINERGI PPS) bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Sadong, Simunjan, semalam.
Program berkenaan dihadiri Ketua Polis Daerah Simunjan, DSP Rafhan Kepli, bersama Inspektor Leonard Adun Keleman dan Pegawai Perhubungan Sekolah, Koperal Noridahyu Mohd Rodi.
Menurut kenyataan media IPD Simunjan, program itu turut menghimpunkan pihak pentadbiran sekolah, PIBG, guru, ibu bapa serta murid sebagai platform perkongsian maklumat berkaitan aspek keselamatan dan cabaran semasa yang membabitkan golongan remaja.
DSP Rafhan dalam ceramahnya memberi penekanan terhadap keselamatan murid, pencegahan buli, gangguan seksual, jenayah siber, perjudian dan penyalahgunaan dadah.

Beliau turut menekankan kepentingan peranan ibu bapa dalam membimbing, memantau dan membentuk sahsiah anak-anak agar tidak mudah terjebak dengan gejala sosial serta kegiatan yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
IPD Simunjan turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan SMK Sri Sadong dan PIBG atas jemputan serta kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.
Menurut kenyataan itu, IPD Simunjan komited untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama dengan pihak sekolah dan PIBG bagi meningkatkan kesedaran keselamatan serta mempergiat usaha pencegahan jenayah dalam kalangan pelajar.
Inisiatif berkenaan dilihat penting dalam membentuk persekitaran pendidikan yang lebih selamat, selain memastikan ibu bapa, pendidik dan pihak berkuasa dapat memainkan peranan secara bersama dalam melindungi generasi muda daripada ancaman jenayah serta gejala sosial.
Oleh Adi Safarman




