Polis Sarawak tumpaskan sindiket pengedaran dadah, rampas methamphetamine bernilai RM2.75 juta di Miri

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Polis Sarawak berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah dengan penahanan seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penghantar (runner) sindiket serta merampas 55 kilogram dadah disyaki methamphetamine bernilai sekitar RM2.75 juta di Miri.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejayaan itu hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.

Beliau berkata, pada 8 Julai lalu, polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Cahaya Miri Bypass dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun serta merampas 30 kilogram dadah disyaki methamphetamine.

PESURUHJAYA Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah bersama Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, menunjukkan sebahagian daripada rampasan besar dadah selepas polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah.

“Susulan penahanan itu, suspek membawa polis ke sebuah lagi rumah di Jalan Acacia, Miri, yang membawa kepada penemuan dan rampasan tambahan sebanyak 25 kilogram dadah disyaki methamphetamine,” katanya.

Polis turut menyita sebuah kereta Proton Iswara yang dipercayai digunakan suspek bagi menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Miri.

Mohamad Zainal berkata, keseluruhan rampasan 55 kilogram dadah disyaki methamphetamine dianggarkan bernilai RM2.75 juta dan mampu digunakan oleh sekitar 275,000 penagih dadah.

Siasatan awal mendapati suspek berperanan sebagai penghantar (runner) kepada sindiket pengedaran dadah dan dipercayai aktif sejak Jun tahun ini.

Beliau berkata, suspek menerima arahan daripada individu atasan sindiket menerusi aplikasi Telegram. Modus operandi sindiket adalah dengan meninggalkan kenderaan di lokasi yang ditetapkan sebelum mengambil semula kenderaan tersebut selepas bekalan dadah dimasukkan oleh ahli sindiket lain.

“Suspek kemudian menghantar dan meninggalkan dadah di lokasi yang diarahkan tanpa bersemuka dengan pelanggan menggunakan kaedah penghantaran tanpa sentuhan (contactless delivery),” katanya.

Menurut beliau, suspek menerima upah RM7,000 dan turut dijanjikan bayaran tambahan RM15,000 bagi tugas mengambil serta menghantar bekalan dadah.

Mohamad Zainal berkata, suspek mempunyai satu rekod jenayah di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan satu rekod kesalahan dadah di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif methamphetamine.

Suspek direman selama enam hari bermula 9 hingga 15 Julai sebelum disambung reman selama lima hari lagi sehingga 20 Julai. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan. Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah juga boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.

Mohamad Zainal berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 12 Julai tahun ini, BSJN Sarawak merekodkan 8,460 tangkapan, meningkat sebanyak 2,085 tangkapan atau 32.7 peratus berbanding 6,375 tangkapan dalam tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, nilai rampasan pelbagai jenis dadah dan racun turut meningkat kepada RM64 juta, iaitu pertambahan RM52.9 juta atau 477.8 peratus berbanding RM11 juta bagi tempoh sama pada 2025.

Katanya, peningkatan tangkapan dan rampasan itu membuktikan keberkesanan strategi ‘Tiada Hari Tanpa Tangkapan’ menerusi penguatkuasaan, risikan dan operasi bersepadu yang dilaksanakan secara berterusan bagi membanteras pengedaran serta penyalahgunaan dadah di Sarawak.

Mohamad Zainal menegaskan Polis Sarawak akan terus memperhebat tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh, agresif dan bersepadu bagi mengesan, memburu dan menumpaskan sindiket pengedaran dadah, memutuskan rantaian bekalan, mengesan serta menyita hasil jenayah, selain memastikan semua individu yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah melalui Hotline BSJN Bukit Aman di talian 012-2087222 atau Hotline BSJN Sarawak di talian 017-5929211. Semua maklumat yang diterima serta identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Oleh Connie Chieng

Empat buruh positif dadah ditahan di Lawas

TANGKAPAN DADAH….suspek yang positif dadah ditahan untuk tindakan lanjut. Foto IPD Lawas LAWAS: Sepasukan polis menahan tiga lelaki tempatan berusia