BINTULU, 21 Oktober: Polis Sarawak sedang menyelaras keperluan penugasan di seluruh negeri bagi memastikan persiapan keselamatan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 dilaksanakan secara teratur.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak berkata, penyelarasan itu melibatkan pengoptimuman kira-kira 11,500 pegawai dan anggota sedia ada, dengan keperluan mendapatkan bantuan anggota dari luar Sarawak cuba diminimumkan.
Menurutnya, penempatan anggota akan ditentukan berdasarkan keperluan operasi setiap daerah, manakala jumlah sebenar yang diperlukan masih belum dimuktamadkan.
“Kita akan cuba meminimumkan bantuan sumber manusia dari luar Sarawak dan menyusun pegawai serta anggota yang sedia ada untuk penugasan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Bengkel Pengharmonian Persiapan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-13 di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu di sini, hari ini.
Bengkel selama tiga hari itu menghimpunkan 115 pegawai dan wakil jabatan berkaitan dari seluruh Sarawak bagi menyelaraskan persiapan serta tanggungjawab setiap unit menjelang pilihan raya.
Saifullizan berkata, persiapan turut melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Pasukan Polis Marin, dengan penugasan disesuaikan mengikut keperluan daerah dan formasi.
Beliau berkata persediaan bagi pengundian awal anggota polis juga akan dilaksanakan mengikut prosedur biasa.
Penyelarasan antara jabatan dan formasi itu bertujuan memastikan perancangan operasi dapat dilaksanakan secara berkesan bagi memelihara keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh pilihan raya.
Oleh Carolyne Utih





