Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Polis Sarawak sedia guna SOSMA, AMLA gempur sindiket dadah
  • TEMPATAN

Polis Sarawak sedia guna SOSMA, AMLA gempur sindiket dadah

Utusan Sarawak 16 hours ago
SIDANG MEDIA… (paling kiri) DCP Saifullizan Ishak bersama (paling kanan) DSP Liong Tindan mengiringi CP Datuk Mohamad Zainal pada sidang media di IPD Lawas.

LAWAS: Polis Sarawak bersedia menggunakan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) bagi menumpaskan serta melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, berkata sebelum ini tindakan ke atas penjenayah dadah biasanya diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, namun keberkesanannya terbatas hanya kepada individu yang memiliki dadah.

“Selama ini kita guna ADB 1952 dan juga AMLA untuk perlucutan harta. Tetapi sekarang kita pertimbangkan untuk gunakan SOSMA terhadap sindiket. Jika hanya guna ADB, kita hanya boleh ambil tindakan terhadap mereka yang memiliki dadah, bukan sindiket keseluruhan. Dengan SOSMA, kita boleh dakwa di bawah jenayah terancang,” katanya.

SANTUNI PESARA… Mohamad Zainal bersama Saifullizan menyantuni pesara Pengakap Sempadan yang turut menerima sumbangan PDRM Sarawak.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Kepimpinan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak Bil. 3/2025 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Zainal berkata SOSMA merupakan akta yang amat ditakuti oleh penjenayah kerana tertuduh tidak boleh dijamin sehingga selesai perbicaraan dan rayuan, kecuali atas alasan tertentu seperti kesihatan.

“Kita sedang meneliti sama ada sindiket yang dikenal pasti ini boleh didakwa di bawah SOSMA. Ia sangat berkesan kerana sifatnya yang ketat dan mampu melumpuhkan sindiket besar,” jelasnya.

Tambah beliau, selain SOSMA, penggunaan AMLA juga diperluaskan untuk menyita aset sindiket pengedaran dadah.

Setakat tahun ini, nilai sitaan melebihi RM17 juta berjaya direkodkan, termasuk wang tunai dan aset lain milik pengedar dadah.

Beliau turut menegaskan bahawa perang terhadap dadah menjadi keutamaan utama PDRM Sarawak.

“Saya telah arahkan semua Ketua Polis Daerah supaya melakukan tangkapan setiap hari tanpa gagal terhadap mereka yang terlibat dengan dadah,” tegasnya.

Hasil daripada pendekatan agresif ini, katanya, tangkapan meningkat sebanyak 300 peratus dalam tempoh tiga minggu terakhir.

“Tindakan ini secara langsung akan menyedarkan masyarakat dan membantu mengurangkan jenayah lain seperti kecurian dan vandalisme yang biasanya berpunca daripada penagih dadah,” katanya.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa pesara polis dan orang awam termasuk pesara Pengakap Sempadan sebagai tanda penghargaan atas jasa mereka.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak, serta barisan pegawai kanan PDRM Kontinjen Sarawak dan Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan.

Oleh Adeng Edrus

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Usaha angkat semula warisan Tari Salako melalui Bengkel Totokng dan Ngoncong
Next: PDRM Sarawak dalam proses naik taraf jawatan OCPD ke Superintenden

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.