
SARATOK: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok berjaya menumpaskan kegiatan curi motosikal dengan penangkapan seorang lelaki warga Indonesia berusia 24 tahun serta rampasan tiga buah motosikal jenis Honda Wave Alpha di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan dilakukan pada 25 September lalu di kuarters pekerja Saratok Palm Oil (SAPOM), hasil risikan dan maklumat awam.
“Suspek mengaku terlibat dalam kes kecurian tiga buah motosikal di kawasan parkir motosikal awam, luar pagar Kilang Sawit Salcra, Nanga Melupa.
“Kesemua motosikal yang dirampas iaitu Honda Wave Alpha berwarna kuning, merah dan biru telah dilaporkan hilang pada 14 dan 25 September lalu,” jelas beliau dalam kenyataan media.
Kes pertama dilaporkan pada 13 September apabila seorang pekerja kilang berusia 39 tahun mendapati motosikalnya hilang di kawasan parkir berkenaan. Kerugian dianggarkan berjumlah RM5,000.
Menurut Mathew, dengan tertangkapnya suspek tersebut, polis berjaya menyelesaikan tiga kes curi motosikal di daerah Saratok.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor. Suspek kini direman untuk siasatan lanjut.
Oleh Adi Safarman