
KUCHING: Polis Kuching terus mempergiat usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah dengan kejayaan terbaharu menahan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun di kawasan Stampin, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata suspek ditahan sekitar 11.50 pagi hasil serbuan di sebuah rumah di kawasan tersebut.
“Hasil pemeriksaan menemukan empat paket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu (methamphetamine) seberat 5.30 gram, dianggarkan bernilai RM583 di pasaran gelap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek menunjukkan positif amfetamin dan metamfetamin.
Siasatan lanjut turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Alexson berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan antara tiga hingga sembilan kali jika disabitkan kesalahan.
“Polis akan memohon perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah pada 24 Oktober 2025 iaitu esok bagi membantu siasatan lanjut,” jelasnya.
Beliau berkata kejayaan tangkapan tersebut adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah. Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti seumpama itu adalah kesalahan serius di sisi undang-undang,” tegasnya.
Beliau menambah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) komited dalam usaha membanteras dadah demi melindungi generasi kini dan masa depan.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah digesa menghubungi Hotline JSJN di 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.