
LIMBANG: Tindakan pantas polis dalam Ops Bersepadu di bandar ini semalam berjaya membongkar kegiatan dua lelaki yang disyaki memiliki pelbagai jenis dadah.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, dalam operasi tersebut, pihaknya telah merampas dadah jenis ketamin seberat kira-kira 1.9 gram dan dua biji pil Erimin 5 seberat 0.60 gram hasil penahanan seorang suspek.
“Selain itu, polis turut menemui dadah jenis methamphetamine (syabu) seberat 0.80 gram daripada seorang lagi suspek dalam operasi sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, dua lagi lelaki turut diberkas selepas didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine hasil ujian saringan air kencing.
Siasatan lanjut mendapati kesemua suspek yang berusia antara 28 hingga 39 tahun itu merupakan warga tempatan dan bekerja sebagai buruh kasar. Mereka juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.