Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Polis rampas dadah bernilai RM13.6 juta
  • JENAYAH

Polis rampas dadah bernilai RM13.6 juta

Utusan Sarawak 3 weeks ago
PEMANGKU Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali bercakap ketika sidang media mengenai sindiket pengedaran yang berjaya ditumpaskan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sebanyak 269 kilogram dadah pelbagai jenis bernilai RM13.6 juta dirampas pasukan narkotik Bukit Aman hasil pemeriksaan ke atas sebuah rumah di sekitar Bandar Baru Sri Petaling di sini Isnin lepas.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata serbuan itu dibuat susulan penahanan dua lelaki tempatan yang disyaki berperanan sebagai penjaga stor dan pengedar (runner) dadah berkenaan.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang berumur 43 dan 42 tahun itu ditahan di sebuah restoran dan kini direman lima hari bermula Selasa.

KEJAYAAN Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman membongkar stor simpanan dadah dan merampas pelbagai jenis dadah iaitu Ketamin, Methamphetamine dan Ekstasi yang dianggarkan bernilai RM13.6 juta. Foto BERNAMA

“Hasil tangkapan, polis memeriksa sebuah rumah yang disewa oleh kedua-dua suspek dan telah menemui 269 bungkusan dadah (satu bungkus dianggarkan seberat satu kilogram) dalam bungkusan teh herba.

“Sebanyak 210 bungkusan mengandungi dadah jenis ketamin, 55 bungkusan syabu dan empat bungkusan jenis ekstasi. Dianggarkan jumlah kesemua dadah ini boleh merosakkan seramai 1 juta pengguna,” katanya pada sidang media JSJN di Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Mat Zani, rumah teres dua tingkat yang disewa suspek sejak November tahun lepas dijadikan stor untuk menyimpan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara seperti Hong Kong dan Indonesia.

“Kedua-dua suspek menerima bayaran sebanyak RM26,900 untuk menjaga dan menghantar dadah-dadah ini dan saringan ujian air kencing mendapati mereka berdua positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek utama berusia 43 tahun mempunyai 17 rekod jenayah lampau seperti kes rompakan dan pecah rumah manakala suspek kedua pula mempunyai tiga rekod termasuk dua rekod dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas mengenai rumah sewa yang dijadikan stor menyimpan dadah, Mat Zani menasihati pemilik rumah agar berhati-hati sebelum menyewakan kediaman mereka kepada mana-mana individu.

“Pemilik perlu berhati-hati, perlu tanya dengan teliti tentang tujuan rumah mereka disewa, berapa lama ingin disewa serta pekerjaan mereka yang ingin menyewa. Sekiranya berasa curiga, mereka boleh terus hubungi pihak polis,” katanya. – Bernama

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: Ketua editor, pereka grafik Sin Chew Daily ditahan untuk siasatan sudah dibebaskan
Next: Wanita hilang RM600,000 terpedaya pelaburan tidak wujud

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.