



PARIS: Seorang wanita berusia 50 tahun dari sebuah kampung di timur Perancis ditahan berhampiran Paris berhubung penemuan dua bayi baru lahir yang meninggal dunia dan disimpan dalam peti sejuk beku, menurut pihak berkuasa pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pejabat pendakwa raya membuka siasatan berhubung kematian kanak-kanak itu selepas wanita berkenaan memberitahu pihak berkuasa yang dia melahirkan bayinya beberapa tahun lalu.
Dua mayat bayi yang dibekukan itu ditemukan pada Selasa di kediamannya di Aillevillers-et-Lyaumont, yang terletak antara Strasbourg dan Dijon.
Menurut pejabat pendakwa raya, wanita itu mengaku melahirkan dua bayi berkenaan di rumah dan menyembunyikan kehamilan berkenaan. Beliau berkata dia “membungkus bayi itu sejurus selepas kelahiran” dan meletakkannya di dalam peti sejuk beku di bilik utiliti yang hanya digunakan olehnya.
Ibu berkenaan, yang menurut laporan media Perancis mempunyai sembilan lagi anak, memaklumkan yang kelahiran itu berlaku antara 2011 iaitu tahun anak sebelumnya dilahirkan, hingga 2018.
Seorang ahli keluarga menemukan mayat bayi itu selepas wanita berkenaan meninggalkan rumah pada Disember. Menurut laporan, wanita itu tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.
Pada peringkat awal, tidak dapat dipastikan bila kedua-dua bayi itu dimasukkan ke dalam peti sejuk beku. Bedah siasat dijadualkan untuk menentukan masa dan keadaan kematian bayi. – Bernama-dpa