SIBU:Pasukan pemantau polis Daerah Sibu memulakan operasi pemantauan di semua permis agensi nombor ramalan, di sini bermula semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Collin Babat berkata, operasi tersebut dijalankan secara berkala turut dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Majlis Perbandaran Sibu (MPS).
“Pasukan kita akan menjalankan pemantauan pada waktu pagi, tengah hari dan petang iaitu waktu dijangka orang ramai akan datang membeli nombor di premis perjudian tersebut.
“Ia bertujuan untuk memastikan operator permis dan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” jelasnya kepada pemberita selepas menjalankan pemantauan di semua premis agensi nombor ramalan di Sibu, semalam.
Beliau memohon kerjasama daripada masyarakat berikutan premis agensi nombor ramalan dibenarkan membuka semula operasi mereka bermula semalam
“Kita memohon kerjasama daripada masyarakat untuk mematuhi mematuhi jarak sosial, mencatat nama, pemeriksaan suhu badan dan basuh tangan terlebih dahulu dengan menggunakan sabun atau cecair pembersih tangan.
“Jika didapati melanggar SOP tersebut, undang-undang yang sedia ada masih dikuatkuasakan dengan kompaun akan dikenakan kepada mereka,” tegasnya.
Superintenden Collin turut menasihatkan orang ramai supaya menulis nombor ramalan masing-masing terlebih dahulu sebelum memasuki premis bagi memastikan proses pembelian berjalan lebih teratur dan cepat.
“Secara keseluruhannya, kita berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh semua premis agensi nombor ramalan di bandar ini,” ujarnya.
Oleh Akun Giman