PADAWAN: Ketua Polis Padawan, Supt Barry William, mengingatkan orang ramai bahawa pesalah berulang berkaitan dadah boleh dikenakan hukuman berat di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, peruntukan tersebut terpakai terhadap individu yang didapati memiliki dadah atau mempunyai metabolit dadah dalam air kencing atau saliva buat kali kedua atau lebih selepas pernah disabitkan atas kesalahan berkaitan dadah sebelum ini.
Bercakap kepada Utusan Sarawak, Barry berkata kesalahan berkaitan dadah yang dilakukan berulang kali boleh membawa hukuman berat, termasuk penjara dan sebatan.
Katanya, perkara itu perlu dijadikan peringatan tegas kepada mereka yang masih terlibat dalam penyalahgunaan dadah kerana individu yang sudah mengalami ketagihan akan berdepan kesukaran untuk membebaskan diri daripada ketagihan tersebut.
Beliau turut menggesa orang ramai, khususnya ibu bapa, supaya sentiasa memantau kandungan yang ditonton oleh anak-anak dan remaja.
Menurutnya, pendedahan berulang kepada kandungan berunsur keganasan atau jenayah boleh mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku mereka.
Barry berkata, penyalahgunaan dadah boleh menjejaskan kesihatan, memusnahkan institusi keluarga serta menjejaskan masa depan seseorang.
“Dadah boleh menghancurkan kehidupan seseorang, keluarga dan masa depannya,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan pengedaran atau penyalahgunaan dadah supaya tampil menyalurkannya kepada pihak polis, sambil memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah diminta melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya.
Orang ramai boleh menghubungi talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di 012-208 7222 untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah.
Barry turut memberi amaran mengenai “jenayah peniruan”, iaitu perbuatan jenayah yang dilakukan dengan meniru aksi, kaedah atau tingkah laku yang dilihat menerusi media sosial, video, permainan digital atau sumber lain.
“Peranan ibu bapa dan masyarakat amat penting dalam melindungi kanak-kanak serta remaja daripada pengaruh negatif. Kesedaran dan bimbingan awal dapat membantu mencegah mereka daripada meniru tingkah laku yang berbahaya atau berunsur jenayah,” katanya.
Oleh Connie Chieng





