

POLIS Padawan tahan dua suspek kes kecurian kabel, rakan masih DUA suspek ditahan semasa cuba melarikan diri.
KOTA PADAWAN: Polis Daerah Padawan berjaya menahan dua lelaki tempatan berhubung kes kecurian kabel selepas serbuan di sebuah rumah di Jalan Nanas Barat, Kuching, kelmarin sekitar 5.30 petang.
Ketua Polis Padawan, Supt Mohd Irwan Hafiz Md Radzi, berkata pihak polis masih mengesan rakan suspek yang masih bebas.
Beliau menjelaskan operasi itu dijalankan oleh Pasukan Tugas Khas IPD Padawan Lejang, yang mana tiga guni kabel, alat kecurian kabel, dan dua kereta telah dirampas.

“Suspek berusia 34 dan 47 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut dan masing-masing mempunyai rekod kes pecah rumah dan dadah sebelum ini,” katanya.
Irwan menambah kedua-dua suspek telah direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan merosakkan atau mencuri infrastruktur awam.
Beliau turut menggesa orang awam memberi maklumat berkaitan kes ini, sambil menegaskan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
Oleh Connie Chieng