PADAWAN: Polis menahan 18 individu termasuk seorang wanita serta merampas 1.56 gram dadah disyaki syabu dan 110 mililiter cecair disyaki ganja dalam Op Tapis Khas Sarawak Bil. 7/2026 selama tiga hari.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Barry William berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan dari 25 Ogos hingga semalam itu menyasarkan kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.
Katanya, sebanyak 18 kertas siasatan dibuka membabitkan 17 lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 56 tahun.
“Daripada jumlah itu, satu kes adalah di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, empat kes di bawah Seksyen 12(3) dan 13 kes di bawah Seksyen 15(1)(a),” katanya hari ini.
Barry berkata, keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM19,880.
Menurutnya, individu yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis akan terus menjalankan operasi secara berterusan bagi membanteras aktiviti dadah di daerah Padawan dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan pengedaran atau penyalahgunaan dadah,” katanya.
Maklumat boleh disalurkan melalui Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-2087222 atau Hotline JSJN Sarawak di talian 017-5929211.





