
LIMBANG: Polis menafikan dakwaan cubaan culik murid di sebuah sekolah rendah tempatan di daerah ini seperti yang tular di WhatsApp sejak semalam.
Ketua Daerah Limbang Superintendan Parum Niot berkata hasil siasatan awal pihak polis mendapati tiada sebarang laporan atau kejadian cubaan menculik yang berlaku seperti yang didakwa dalam mesej tular tersebut.
“Orang ramai dinasihatkan tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh menyebabkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Pihak polis di sini ingin menenangkan orang awam bahawa kawalan keselamatan di semua kawasan sekolah sentiasa dipantau dan langkah-langkah pencegahan sentiasa dijalankan bagi memastikan keselamatan murid serta warga sekolah sentiasa terjamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Parum berkata pihak polis mengingatkan masyarakat agar tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.
Katanya tindakan tegas boleh diambil di bawah peruntukan undang-undang yang sedia ada.
Katanya polis Limbang akan terus memantau dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu.
“Orang ramai dinasihatkan untuk merujuk kepada saluran rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum mempercayai atau berkongsi sebarang maklumat.
“Sebarang maklumat mencurigakan boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang di talian 085-211490 (Bilik Gerakan IPD Limbang) atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya lagi.
Oleh Adeng Edrus