
SIMANGGANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak 30 September lalu di Rumah Rengkang, Lepong Empeliau, Undop, Sri Aman.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam berkata, mangsa dikenali sebagai Tumbu Landa, 67 tahun, berbangsa Iban, kali terakhir dilihat keluar dari rumah pada 5.00 petang sebelum dipercayai menuju ke kawasan kebun lama di belakang rumah panjang.
“Penduduk rumah panjang telah berusaha mencari mangsa, namun gagal menemui beliau. Laporan polis kemudian dibuat bagi memohon bantuan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa yang berbadan kurus dengan ketinggian kira-kira 150 sentimeter itu dilaporkan memakai baju-T berwarna putih dan kain berwarna biru ketika kali terakhir dilihat.
Operasi SAR kini diketuai oleh PDRM dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sri Aman serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sri Aman.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan ini diminta menghubungi ASP Leonard Mallaca di talian 019-7509390 atau Bilik Gerakan IPD Sri Aman di talian 083-322035 bagi membantu siasatan.
Oleh Adi Safarman