
BINTANGOR: Seorang lelaki tempatan ditahan dalam operasi Ops Dadu selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian haram di kawasan ini.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata tangkapan dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong kira-kira 10.45 pagi pada 12 Mac lalu, semasa operasi dijalankan.
Katanya, lelaki tempatan berumur lingkungan 20-an tersebut ditahan selepas pihak polis menjalankan pemeriksaan ke atasnya yang dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian tanpa lesen.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menjumpai peralatan disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian.
“Antara barang kes yang dirampas daripada subjek adalah satu keping keratan kertas bercetak yang terdapat angka-angka disyaki nombor loteri awam haram tanpa lesen yang sah dan sejumlah wang tunai dirampas dijadikan sebagai barang kes,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Tambahnya, suspek bersama barang kes telah dibawa ke Balai Polis Bintangor bagi tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak melebihi RM100,000 serta penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Dalam pada itu, Tansli menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti perjudian dan jenayah yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“Pihak polis khususnya IPD Meradong menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti perjudian dan jenayah.
“Kami menyeru orang ramai untuk memberi kerjasama serta menyalurkan maklumat berkaitan dengan apa-apa aktiviti jenayah bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara,” katanya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah boleh menyalurkannya dengan menghubungi Balai Polis Bintangor di talian 084-693222.
Oleh Earl Anek