
BINTANGOR: Polis Meradong memandang serius kegiatan lumba haram di Batu 8, Jalan KJD di Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) yang sering menjadi lokasi tumpuan belia berusia antara 17 hingga 25 tahun.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata pihaknya komited dalam usaha membanteras kegiatan tersebut yang bukan sahaja mengundang bahaya kepada peserta, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Pihak polis memandang serius kegiatan lumba haram yang berlaku di kawasan Meradong, khususnya melibatkan golongan belia berusia antara 17 hingga 25 tahun.
“Hasil pemantauan dan tindakan yang dijalankan mendapati Batu 8, Jalan KJD di LPB kerap dijadikan lokasi utama kegiatan lumba haram,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, sepanjang tahun ini, sebanyak 33 saman telah dikeluarkan dan lapan buah motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk pengubahsuaian ekzos, tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh, tiada cermin sisi serta nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi,” katanya.
Tegasnya, tindakan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan kegiatan lumba haram dapat dibanteras sepenuhnya di daerah ini.
Selain itu, katanya, pihaknya turut memberi ceramah-ceramah kesedaran di sekolah dan persatuan penduduk.
Oleh Earl Anek