

BINTANGOR: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong telah mengambil tindakan terhadap beberapa motosikal yang didapati melakukan pelbagai kesalahan trafik termasuk pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dalam operasi sekitar kawasan Bintangor.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk penggunaan ekzos bising, tiada lesen memandu, tiada nombor pendaftaran serta tiada cermin sisi.
“Antara kesalahan yang telah diambil tindakan saman ialah ubah suai ekzos, tiada lesen memandu, tiada nombor pendaftaran dan tiada cermin sisi.
“Pihak polis memandang serius isu penggunaan ekzos bising dan pengubahsuaian motosikal yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, penguatkuasaan tersebut dijalankan sebagai langkah memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas selain mengurangkan risiko kemalangan.
Sehubungan dengan itu, Tansli menasihatkan semua penunggang motosikal supaya tidak melakukan sebarang pengubahsuaian yang menyalahi undang-undang khususnya penggunaan ekzos bising.
“Ibu bapa dan penjaga juga disaran memainkan peranan penting dalam memantau anak-anak agar tidak menunggang motosikal tanpa lesen memandu, sentiasa memakai topi keledar dan tidak menggunakan ekzos bising yang boleh mengganggu keselesaan masyarakat serta penduduk setempat.
“Pihak polis akan terus menjalankan pemantauan serta rondaan secara berkala dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.
Oleh Earl Anek