MIRI: Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Sarawak Wilayah 5 menahan sebuah bot pukat tunda dan menahan lima lelaki di tujuh batu nautika dari pantai di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, bot pukat tunda itu ditahan semasa Op Taring Pensura pada 11.50 pagi di perairan Kuala Baram kerana menangkap ikan kurang tujuh batu nautika dari pantai.
Katanya, setelah diperiksa, disyaki mereka melakukan kesalahan pukat tunda dalam jarak 6.245 batu nautika dari pantai Tanjung Kuala Baram.
“Kesalahan ini telah melanggar lesen di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu pukat tunda dalam lingkungan kurang tujuh batu nautika dari pantai.
“Anak kapal terdiri daripada empat warga Indonesia dan seorang warga tempatan,” jelasnya melalui satu kenyataan media, hari ini.
Antara barang rampasan ialah kira-kira 50kg pelbagai jenis ikan, papan pukat tunda, pukat tunda dan kapal.
Suspek dan barang rampasan dalam operasi ini telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Perikanan Miri untuk siasatan lanjut.