
MIRI: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak berjaya merampas pelbagai jenis rokok dan minuman keras dipercayai diseludup, dengan nilai anggaran keseluruhan sebanyak RM200,119.80 dalam satu operasi di Jalan Padang Kerbau, semalam.
Komander Pasukan Polis Marin, ACP Ab Rahman Mat Hasan berkata, rampasan dilakukan oleh sepasukan anggota Unit Risikan Marin yang menahan sebuah kenderaan berwarna biru sekitar 4.30 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut membawa rokok dan minuman keras tanpa cukai serta tidak mempunyai setem sah daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media.
Pemandu kenderaan telah ditahan dan keterangannya diambil bagi membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967.
“Suspek serta semua barangan rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa individu yang disabitkan kesalahan memiliki atau menyembunyikan barang seludup di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Beliau menggesa orang awam supaya terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan demi membanteras jenayah tersebut.
Oleh Adum Liu