SIBU: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Sibu berjaya melumpuhkan cubaan menyeleweng hampir 16,000 liter minyak diesel dalam Ops Taring Kontraban di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce sekitar 10.00 pagi, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataan, anggota pasukan PPMW5 telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori tanker minyak berwarna putih/kelabu yang mencurigakan.
Hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori seorang lelaki tempatan dalam lingkungan 36 tahun gagal mengemukakan dokumen sah kebenaran memiliki, menyimpan, membawa barang kawalan tanpa pemit, tanpa lesen dan kebenaran khas daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kos Sara Hidup (KPDN).
“Pemeriksaan lanjut telah menemui minyak diesel anggaran 16,000 liter dengan nilai rampasan sebanyak RM231,200 dipercayai untuk diseludup,” jelasnya.
Pasukan bertindak menyita minyak diesel dan lori berpendaftaran tempatan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat KPDN Bahagian Sibu bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Oleh RAIHAN OMERA KAUSAR