
LUBOK ANTU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun selepas didapati memiliki selaras senapang patah buatan sendiri bersama beberapa butir peluru dalam satu serbuan di Jalan Lubok Antu, petang semalam.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, tangkapan dilakukan sepasukan anggota diketuai Inspektor Muhammad Firdaus Saldi bersama Team Task Force IPD Lubok Antu.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan satu laras senapang patah buatan sendiri serta peluru.
“Suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau dan disahkan positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine selepas ujian saringan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati suspek turut terlibat dalam satu kes dengan sengaja mendatangkan cedera di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang dilaporkan oleh seorang wanita pada 25 Oktober lalu.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengambil dadah berbahaya.
Polis menggesa orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah di kawasan masing-masing melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau menghubungi Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin di talian 019-8897640 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Lubok Antu, Inspektor Harper Kenol, di talian 014-8833311.
Oleh Adi Safarman