

IPD Lubok Antu telah melaksanakan rondaan dan pemantauan menyeluruh di lapan sekolah sekitar Lubok Antu dan Engkilili, semalam. Foto: IPD Lubok Antu
LUBOK ANTU: Bagi memastikan sekolah terus kekal sebagai kawasan selamat untuk proses pembelajaran, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu telah melaksanakan rondaan dan pemantauan menyeluruh di lapan sekolah sekitar Lubok Antu dan Engkilili, semalam.
Seramai 13 pegawai dan anggota polis terlibat dalam operasi tersebut, merangkumi Pegawai Perhubungan Sekolah, Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, serta anggota dari Balai Polis Lubok Antu dan Engkilili.


IPD Lubok Antu telah melaksanakan rondaan dan pemantauan menyeluruh di lapan sekolah sekitar Lubok Antu dan Engkilili, semalam. Foto: IPD Lubok Antu
Rondaan yang dijalankan bermula 11.30 pagi hingga 4.30 petang itu bertujuan memastikan keselamatan warga sekolah berada pada tahap terbaik serta memperkukuh kehadiran polis di kawasan pendidikan.
Sekolah yang dilawati termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok Antu, SMK Engkilili, Sekolah Kebangsaan (SK) Ridan, SK Lubok Antu, SK San Semanju, SK Merbong, SK Nanga Tibu dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Engkilili.
Menurut kenyataan IPD Lubok Antu, pemantauan ini bertujuan meningkatkan kehadiran polis di kawasan sekolah sebagai langkah pencegahan berikutan beberapa insiden keselamatan pelajar yang dilaporkan di negara ini.
Selain memastikan pelajar tidak terlibat dalam sebarang salah laku, rondaan turut memberi ruang kepada pihak polis untuk mengukuhkan hubungan dengan komuniti sekolah, termasuk guru dan pentadbir.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang aduan atau salah laku pelajar dilaporkan. Semua sekolah memberikan kerjasama baik dan menghargai keprihatinan pihak polis terhadap keselamatan mereka,” kata kenyataan itu.
Langkah proaktif ini sekali gus memperlihatkan komitmen PDRM dalam memelihara keselamatan komuniti pendidikan serta menjadikan sekolah sebagai zon selamat untuk generasi muda Daerah Lubok Antu dan Engkilili.
Oleh Adi Safarman