LIMBANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Limbang terus menjalankan pemantauan keselamatan di kawasan pelaksanaan projek mega di daerah ini bagi memastikan pematuhan undang-undang, ketenteraman awam serta keselamatan infrastruktur sentiasa terpelihara.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Parum Niot berkata, rondaan turut dipertingkatkan bagi mencegah masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan pekerja di tapak pembinaan projek berkenaan.
Menurutnya, pegawai dan anggota polis turut diarahkan mendapatkan maklumat daripada pemaju serta penyelia tapak projek bagi memastikan sebarang kegiatan tidak sihat dapat dibendung.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan pihak pemaju projek selain menjalankan taklimat keselamatan dan pemantauan berkaitan.
“Setakat ini, keadaan adalah selamat dan terkawal termasuk di kawasan pelaksanaan projek-projek mega di Limbang,” katanya kepada media ketika menghadiri Kempen Derma Darah anjuran Musyati Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cawangan Limbang, semalam.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Projek Musyati Sdn Bhd, Steven Sim berkata, kempen derma darah berkenaan merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta usaha amal syarikat bagi membantu Hospital Limbang menambah bekalan darah untuk kegunaan pesakit yang memerlukan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PBSM Cawangan Limbang atas kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.
Katanya, kempen itu mencerminkan semangat perpaduan dan keprihatinan masyarakat, selain membuktikan setiap individu mampu memberi sumbangan positif kepada komuniti.
“Kami berharap dapat terus berganding bahu dengan PBSM Limbang, pihak berkuasa tempatan serta pelbagai pertubuhan masyarakat dalam memberikan khidmat kepada komuniti dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya
Selain menggalakkan budaya menderma darah, Musyati Sdn Bhd turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada PBSM Cawangan Limbang sebagai sokongan terhadap usaha kemanusiaan pertubuhan berkenaan.
“Semoga sumbangan kecil ini dapat menyokong usaha kemanusiaan yang dilaksanakan serta menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.
Oleh Adeng Edrus





