

LAWAS: Seorang lelaki ditahan polis kurang daripada 24 jam selepas dipercayai mencuri barang jualan di pasar Tamu Lawas, semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, suspek berusia 37 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan pada 11.30 malam dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Banting, Lawas.
Tangkapan itu dibuat susulan laporan polis oleh mangsa pada 12.10 tengah hari selepas mendapati tempat jualannya berselerak dan beberapa barang hilang dengan anggaran kerugian RM2,700.


“Bertindak atas maklumat tersebut, polis melancarkan operasi mengesan suspek dan berjaya menahannya. Beberapa barang yang disyaki dicuri turut dirampas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Dalam operasi berasingan, tiga lelaki berusia 50, 33 dan 39 tahun ditahan selepas didapati positif dadah dalam serbuan di Jalan Trusan Lawas dan sekitar bandar Lawas.
Hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Semakan lanjut mendapati suspek berusia 50 dan 33 tahun mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, manakala suspek berusia 39 tahun mempunyai dua rekod kesalahan dadah.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.