


OPS TAPIS… Dua suspek dan beg yang mengandungi dadah jenis syabu.
LAWAS: Polis Daerah Lawas giat mengesan seorang lelaki yang melarikan diri selepas cuba melanggar anggota polis semasa ditahan.
Menurut Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, kejadian berlaku pada 7.00 malam Khamis lalu apabila suspek bertindak nekad setelah menyedari kehadiran polis yang sedang memerhati kenderaannya.
Suspek yang memandu kereta jenis Perodua Myvi didapati berhenti di tepi jalan simpang ke Ba’kelalan dalam keadaan mencurigakan.
Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek telah bertindak melanggar anggota polis yang cuba memeriksa dan terus melarikan diri dengan kereta.
Polis telah mengejar suspek dan menemui keretanya di Jalan Ba’kelalan. Pemeriksaan dalam kereta suspek menemui sebuah beg sandang yang mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu.
Kenderaan suspek telah ditahan dan dadah tersebut dirampas untuk siasatan lanjut oleh pihak polis.
Operasi mengesan suspek masih giat dijalankan sehingga kini. Rampasan dadah disyaki jenis syabu itu dianggarkan seberat 6.1 gram dengan nilai pasaran kira-kira RM1,200.
Turut dirampas alat penimbang digital dan paket plastik kosong,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Sementara itu, dalam operasi berasingan pada 7.35 petang di tepi Jalan Kampung Temangis, Lawas, polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang kelihatan mencurigakan dan disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Semakan kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai enam kesalahan lampau berkaitan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB1952.
Pasamasa yang sama, pihak Polis juga menangkap seorang lagi suspek lelaki tempatan berusia 38 tahun kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah pada 10. 20 malam di Bandar Lawas.
Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amp/meth. Semakan kesalahan lampau mendapati saspek mempunyai dua kesalahan lampau berkaitan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB1952.
Oleh Adeng Edrus