
LAWAS: Polis Daerah Lawas telah berjaya melaksanakan tiga operasi berasingan yang membawa kepada penangkapan beberapa individu disyaki terlibat dalam aktiviti pengeluaran wang daripada mesin pengeluaran automatik (ATM), dipercayai berkaitan dengan sindiket keldai akaun penipuan dalam talian.
Tangkapan kedua melibatkan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti judi dalam talian, manakala tangkapan ketiga membabitkan individu yang didapati positif dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, memaklumkan bahawa pada sekitar 9.30 pagi semalam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJKD) IPD Lawas telah menahan tiga lelaki di sebuah hotel di Bandar Lawas kerana disyaki terlibat dalam sindiket yang mengurus dan membekalkan keldai akaun.
“Tangkapan tersebut melibatkan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 33 dan 35 tahun, serta seorang warga asing berusia 42 tahun.
“Kumpulan berkenaan disyaki menjalankan aktiviti pengeluaran wang daripada pelbagai akaun di mesin ATM bank sekitar Lawas, sebelum memasukkannya semula ke dalam akaun lain atas arahan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.
“Selain itu, kumpulan berkenaan juga disyaki terlibat dalam mencari individu yang sanggup membuka akaun bank untuk dijadikan sebagai keldai akaun.
“Dalam operasi tersebut, pihak polis berjaya merampas lapan kad ATM milik orang lain, beberapa telefon bimbit, dan wang tunai berjumlah RM1,041.00,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap individu yang menawarkan pembukaan akaun bank tanpa alasan yang munasabah, kerana akaun tersebut berisiko digunakan sebagai keldai akaun bagi kegiatan jenayah penipuan.
Ketiga-tiga suspek kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, pada hari yang sama, sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian menggunakan telefon bimbit.
Suspek ditangkap dibawah seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Turut dirampas sebuah telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.
Sementara itu, sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Lawas telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun di rumahnya di Sundar, selepas didapati positif dadah jenis syabu. Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tiada rekod kesalahan lampau direkodkan bagi semua tangkapan yang dibuat.
Sehubungan itu, pihak polis menggesa orang ramai agar sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah kepada pihak berkuasa bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Oleh Adeng Edrus