Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Polis Kuching tumpaskan sindiket pusat panggilan judi dalam talian, 28 individu ditahan
  • JENAYAH

Polis Kuching tumpaskan sindiket pusat panggilan judi dalam talian, 28 individu ditahan

Utusan Sarawak 6 hours ago
TERTANGKAP… Suspek ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Song, Kuching.

KUCHING: Polis menahan seramai 28 individu dipercayai terlibat dalam sindiket judi dalam talian yang beroperasi sebagai pusat panggilan, susulan dua serbuan di unit pangsapuri di sepanjang Jalan Song di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, operasi berkenaan dijalankan antara 2.00 petang hingga 2.12 petang hasil maklumat risikan di bawah Op Dadu Mega.

“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching dengan bantuan Bahagian D7 IPK Sarawak telah menjalankan dua serbuan berasingan di dua unit pangsapuri di kawasan Jalan Song,” katanya.

Menurut beliau, seramai 28 suspek ditahan terdiri daripada tiga lelaki tempatan, 24 lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 19 hingga 40 tahun.

TERTANGKAP… Suspek ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Song, Kuching.

Polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk komputer, telefon bimbit dan peranti berkaitan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti judi dalam talian.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi sebagai pusat panggilan menggunakan aplikasi WhatsApp serta laman sesawang untuk mempromosikan pelbagai bentuk judi dalam talian dengan menyasarkan pelanggan dari Australia dan China,” jelasnya.

Alexson menambah, premis berkenaan dipercayai telah beroperasi selama kira-kira empat bulan dan semua suspek yang ditahan disyaki bekerja sepenuh masa untuk operasi tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana mempromosikan aktiviti perjudian yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000, penjara sehingga lima tahun dan sehingga enam sebatan.

Kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh pas atau permit sah juga disiasat, dengan hukuman denda tidak kurang RM10,000, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Alexson berkata, semua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching hari ini bagi mendapatkan perintah reman, dan mahkamah membenarkan reman selama tiga hari.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444.

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: Mengamuk bawa parang, lelaki ditahan polis
Next: Lelaki ditahan, dadah bernilai RM597 dirampas di Jalan Tabuan Dayak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.