
KUCHING: Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun serta merampas dadah disyaki jenis syabu dalam operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.
Beliau berkata tangkapan dibuat pada kira kira 11.15 pagi pada 20 Januari 2026 di belakang sebuah rumah di Jalan Kampung Gita Lama, Kuching.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menemukan lapan paket plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi dadah disyaki jenis syabu dengan berat keseluruhan 5.35 gram.
Nilai pasaran dadah tersebut dianggarkan sebanyak RM588. Alexson berkata ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah terdahulu,” katanya.
Beliau berkata suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama dua hari bermula 22 hingga 23 Januari 2026 bagi membantu siasatan.
Alexson menegaskan bahawa pihak polis akan terus komited dalam memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
“Dadah adalah musuh nombor satu negara. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menyalurkannya melalui Hotline JSJN Bukit Aman di 012 208 7222 atau Hotline JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di 017592 9211,” katanya.
Oleh Connie Chieng