

KUCHING: Polis Kuching menahan 11 lelaki tempatan berhubung dua kes serangan yang berlaku di sekitar bandar raya ini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, polis menerima dua laporan berkaitan kes serangan yang mengakibatkan kecederaan terhadap mangsa.
Menurut beliau, kes pertama berlaku sekitar 1.30 pagi di Jalan BDC apabila mangsa yang dalam perjalanan pulang diserang sekumpulan individu tidak dikenali menggunakan kayu dan baton sehingga menyebabkan kecederaan.
“Bertindak atas maklumat diterima, polis berjaya menahan tujuh lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 33 tahun serta merampas sebatang baton yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing terhadap semua suspek adalah negatif dadah.
Dalam kes kedua yang berlaku pada hari sama sekitar 7.28 pagi di Jalan Tabuan Hilir, seorang mangsa dipercayai dipukul sekumpulan lelaki sehingga mengalami kecederaan.
Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.
Polis kemudiannya menahan empat lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 25 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah,” katanya.
Alexson berkata Mahkamah Majistret Kuching membenarkan permohonan reman selama empat hari terhadap semua suspek bagi membantu siasatan lanjut.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri atau terlibat dalam perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Oleh Connie Chieng