MUAN, Korea Selatan: Polis Korea Selatan menyerbu pejabat Jeju Air dan pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Muan sebagai sebahagian daripada siasatan nahas maut membabitkan pesawat Boeing 737-800 yang mengorbankan 179 orang.
“Berhubung dengan kemalangan pesawat, operasi mencari dan menyita sedang dijalankan dari 9 pagi (waktu tempatan) hari ini di tiga lokasi.
“Polis merancang untuk menentukan punca dan tanggungjawab kemalangan ini dengan cepat dan tegas mengikut undang-undang dan prinsip,” menurut polis.
Penerbangan itu membawa 181 orang dari Thailand ke Korea Selatan pada Ahad lalu apabila ia mengeluarkan panggilan ‘mayday’ dan mendarat sebelum merempuh penghadang, membunuh semua penumpang kecuali dua pramugari yang berjaya diselamatkan.
Susulan itu, pihak berkuasa menjalankan operasi mencari dan menyita di lapangan terbang Muan yang mana penerbangan 2216 terhempas, pejabat penerbangan serantau di bandar barat daya, dan pejabat Jeju Air di ibu kota Seoul.
Penyiasat Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS), termasuk dari Boeing turut menyelidik tapak nahas untuk mencari punca sebelum kedua-dua kotak hitam ditemui dan kerja penyahkodan sedang dijalankan.
Polis memberitahu AFP, waran geledah sudah dikeluarkan dan Yonhap melaporkan ia sudah diluluskan atas tuduhan kecuaian profesional yang mengakibatkan kematian, memetik pegawai.
Korea Selatan juga mengumumkan akan memeriksa semua pesawat Boeing 737-800 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangannya, memfokuskan pada gear pendaratan, yang didapati mungkin mengalami kerosakan ketika kemalangan pada hari Ahad lalu.
Pihak berkuasa sebelum ini, berkata 101 pesawat model yang sama sudah beroperasi oleh enam syarikat penerbangan berbeza.
Sementara itu, pemangku presiden Korea Selatan, Choi Sang-mok, berkata tindakan segera mesti diambil jika siasatan itu mendedahkan sebarang isu dengan model pesawat berkenaan.
“Memandangkan terdapat kebimbangan besar orang ramai mengenai model pesawat yang sama yang terbabit dalam kemalangan itu, Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan mesti menjalankan pemeriksaan menyeluruh penyelenggaraan operasi, pendidikan dan latihan.
“Sekiranya terdapat sebarang isu semasa pemeriksaan, sila ambil tindakan pembetulan segera,” katanya.
Kemalangan itu adalah bencana penerbangan paling teruk pernah berlaku di Korea Selatan.
Pihak berkuasa Korea Selatan sudah menyelesaikan pengambilan data awal dari perakam suara kokpit, tetapi perakam data penerbangan itu rosak dan akan dihantar ke AS untuk dianalisis. – AFP