KOTA SAMARAHAN: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan operasi bersepadu semalam dan hari ini di Jalan Kota Samarahan–Asajaya dan Jalan Kota Samarahan–Mambong.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Supt Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, sebanyak 486 kenderaan dan 486 individu diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan sebanyak 30 saman menggunakan borang PDRM(K) 257 atas pelbagai kesalahan, termasuk nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, membawa muatan secara berbahaya, tiada lesen memandu serta melanggar syarat permit,” katanya.


TINDAKAN PENGUATKUASAAN… Sebanyak 486 kenderaan diperiksa dalam operasi bersepadu yang dijalankan polis dan JAS semalam dan hari ini. Foto IPD Kota Samarahan
Sementara itu, JAS menjalankan pemeriksaan pelepasan asap hitam terhadap 270 kenderaan, selain pemeriksaan visual terhadap enjin kenderaan petrol yang membabitkan 211 kenderaan.
Daripada jumlah itu, 29 kenderaan diuji dan kesemuanya didapati mematuhi piawaian yang ditetapkan.
JAS turut mengeluarkan satu notis dan satu kompaun sepanjang operasi berkenaan.
Oleh Connie Chieng




