

TELAH DIALIH KE TEPI… Besi-besi telah dialih ke tepi jalan sebelum pihak polis sampai di lokasi. Foto IPD Meradong
BINTANGOR: Susulan kejadian tular melibatkan besi bertaburan di Jalan Tulai, pihak polis mengingatkan pemandu kenderaan perdagangan agar memastikan muatan diikat dengan kukuh bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, ketika dihubungi media bagi mengulas isu yang tular di Facebook hari ini memaklumkan bahawa besi tersebut telah dialihkan sebelum pihak polis tiba di lokasi.
“Besi ini sudah dialih sebelum pihak polis sampai ke lokasi sebentar tadi,” katanya.

Beliau pada masa sama menasihati semua pemandu kenderaan perdagangan agar sentiasa menitikberatkan keselamatan muatan sebelum memulakan perjalanan.
“Semua pemandu kenderaan perdagangan, lori, treler dan seumpamanya dinasihatkan agar memastikan muatan diikat dengan kukuh, dilitupi dengan kemas serta mematuhi had beban yang ditetapkan sebelum memulakan perjalanan.
“Kerjasama anda amat penting bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya,” tegasnya.
Kecuaian dalam mengurus muatan bukan sahaja membahayakan pemandu kenderaan itu sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain, terutama apabila jalan licin akibat hujan.
Sejak pagi tadi, dua gambar yang tular di Facebook memaparkan timbunan besi bertaburan di Jalan Tulai, sekali gus mencetuskan kebimbangan serta perbincangan hangat dalam kalangan netizen.
Oleh Earl Anek