
Orang ramai menurunkan papan tanda dari bahagian hadapan ibu pejabat Kor Briged Mobil (BRIMOB) ketika tercetus kekecohan susulan kematian seorang pemandu Ojek, di hadapan ibu pejabat BRIMOB di Jakarta, Indonesia. - Foto AFP
JAKARTA: Polis Republik Indonesia (POLRI) mengesahkan tujuh anggota pasukan taktikal Markas Briged Bergerak (Brimob) Polis didapati melanggar etika selepas insiden kenderaan taktikal mereka merempuh seorang pemandu Gojek baru-baru ini.
Memetik portal Tempo, Ketua Bahagian Profesi dan Pengamanan Polri, Inspektur Jeneral Abdul Karim berkata, hasil siasatan dalaman mendapati anggota terbabit bertindak cuai dan tidak mematuhi prosedur operasi standard semasa kejadian berlaku.
“Semua tujuh anggota Brimob yang terlibat sudah disiasat dan terbukti melakukan pelanggaran etika polis,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Karim memaklumkan, kesemua anggota Brimob yang terlibat kini ditahan dalam tahanan dalaman selama 20 hari sementara menunggu tindakan lanjut.
Tindakan susulan termasuk kemungkinan mendakwa mereka di mahkamah mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Polri menegaskan bahawa institusi ini bertanggungjawab sepenuhnya dan berkomitmen memberi keadilan kepada keluarga mangsa,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Affan Kurniawan, 21, meninggal dunia selepas dilanggar kenderaan taktikal polis itu ketika pihak berkuasa cuba menyuraikan demonstrasi yang didakwa menjurus kepada aksi tidak terkawal (anarkis).

Insiden itu mencetuskan kemarahan peserta demonstrasi yang mengejar kenderaan terbabit sehingga ke markas Brimob di Jakarta Pusat untuk menuntut keadilan.
Ribuan pemandu Gojek mengiringi jenazah Affan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Karet Bivak, Tanah Abang, pada 9.30 pagi Jumaat waktu tempatan.
Susulan itu, Ketua Polis Negaranya, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, tampil memohon maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa dan memberi jaminan bahawa salah laku anggotanya tidak akan dipandang ringan.