Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Polis hantar pegawai ke Thailand, siasat rakyat Malaysia bawa senjata api
  • NASIONAL

Polis hantar pegawai ke Thailand, siasat rakyat Malaysia bawa senjata api

Utusan Sarawak 4 days ago
KETUA Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

HULU SELANGOR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pegawainya ke Thailand bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung kes seorang rakyat Malaysia yang ditahan bersama senjata raifal dan peluru di Sodao, Songkhla, Sabtu lepas.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata suspek lelaki berkenaan masih ditahan di Thailand dan siasatan lanjut akan dijalankan dengan kerjasama erat pihak berkuasa negara jiran itu.

“Berdasarkan maklumat awal daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, lelaki itu ditahan bersama beberapa laras raifal serta peluru ketika sedang memandu kenderaan bernombor plat Malaysia.

“Siasatan sedang dijalankan termasuk dakwaan bahawa senjata terbabit dalam perjalanan untuk dibawa masuk ke Malaysia. Setakat ini hanya seorang ditahan, namun siasatan akan diperluas untuk mengenal pasti modus operandi dan organisasi di sebalik kegiatan ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Program Diploma Kepolisan (MQA) dan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (JPK) PDRM di Maktab PDRM Kuala Kubu Bahru, di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki rakyat Malaysia ditahan bersama raifal dan ratusan butir peluru disyaki membelinya di Thailand untuk diseludup masuk ke negara ini.

Mohd Khalid berkata kawalan keselamatan di sempadan Malaysia–Thailand masih berada dalam keadaan baik dan terkawal setakat ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khalid berkata kawalan keselamatan bagi pemimpin negara termasuk Sultan dan Ketua Negeri sedang diperkukuh susulan insiden seorang wanita tempatan cuba menyerang Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di pentas utama sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak, Sabtu lepas.

“Kita juga akan meningkatkan (penyertaan) kursus bodyguarding dan menyerapkan elemen-elemen Unit Tindakhas dan komando supaya dapat diperkemas tugasan semua pegawai yang bertugas dengan pihak istana dan kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata PDRM masih belum menerima laporan rasmi bedah siasat kali kedua terhadap pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Syamsul Haris Shamsudin.

“Beri ruang kepada pihak polis menyiasat dengan baik dan sempurna, dan kita akan kemukakan apa juga hasil siasatan terbabit,” katanya.

Proses bedah siasat kedua Syamsul Haris, 22, dijalankan pada Sabtu lepas sebelum dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu di Semenyih kira-kira 6.09 petang hari sama.– Bernama

Continue Reading

Previous: Pengurusan tertinggi TikTok dipanggil ke Bukit Aman khamis ini – Fahmi
Next: 13 projek solar diluluskan di bawah LSS PETRA 5+, termasuk loji terapung terbesar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.