
BINTULU: Polis digesa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bertindak seperti samseng dan cuba mengambil undang-undang di tangan sendiri.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing menegaskan bahawa tiada sesiapa yang kebal daripada tindakan undang-undang, termasuk individu yang memiliki pengaruh atau kekuatan tertentu.
“Saya meminta polis menjalankan tugas secara tegas terhadap sebarang kegiatan gangsterisme atau mereka yang bertindak di luar batas undang-undang.
“Kita tidak mahu ada pihak yang menggunakan kuasa atau pengaruh untuk menunjukkan kekuatan mereka.
“Saya percaya, kecekapan dan kuasa polis jauh lebih baik daripada mana-mana samseng.
“Teruskan tugas anda dan saya akan sentiasa memberi sokongan penuh,” katanya pada majlis Malam Mesra Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, malam tadi.
Beliau turut menekankan bahawa polis perlu diberi kebebasan penuh dalam menjalankan siasatan dan penguatkuasaan tanpa sebarang tekanan atau campur tangan.
“Kita tidak boleh mencampuri tugas polis ketika mereka menjalankan siasatan.
“Sekiranya terdapat aduan atau rasa tidak puas hati, sampaikan melalui saluran yang betul seperti kepada ketua polis daerah atau pegawai bertanggungjawab.
“Namun begitu, tindakan menghalang tugas polis sama sekali tidak boleh diterima,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih