
BAU: Polis Daerah Bau telah menganjurkan program ‘bercakap dengan kami’ di Boon Café dan Choo Jie Kitchen, Medan Selera Komuniti Paku, hari ini bagi memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat serta meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan jenayah.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A. Rahman, berkata program yang berlangsung dari 10.00 pagi hingga 11.30 pagi itu melibatkan anggota polis berinteraksi secara langsung dengan orang awam sambil mengedarkan risalah berkaitan trend terkini jenayah komersial.
Antara yang hadir ialah Sjn Colin Raape dan Sjn Ningkan Jawi.
Menurut beliau, program ini bertujuan memupuk semangat kerjasama dan persefahaman antara masyarakat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain menggalakkan orang ramai menjadi “mata dan telinga” kepada pihak polis.
“Program ini juga memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai jenayah dalam talian serta aspek keselamatan diri dan harta benda,” katanya.
Beliau berkata maklum balas yang diterima adalah positif apabila komuniti menyambut baik kehadiran pihak polis di kawasan Paku.
Tambahnya, program tersebut berjalan lancar, dengan komuniti memaklumkan bahawa keadaan sekitar, khususnya kawasan kedai, adalah selamat dan terkawal serta tiada sebarang kegiatan jenayah dilaporkan.
Oleh Connie Chieng