
LAWAS: Polis Daerah Lawas mengadakan Program Sembang Santai Bersama Orang Awam di kawasan Sundar, di sini semalam.
Program itu melibatkan tiga pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas iaitu Insp. Justin Goan Boon Kiat, SJN Kho Beng Lay dan Konst. Mohd Syarisham Ahmad.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, berkata program tersebut bertujuan merapatkan hubungan antara PDRM Lawas dan masyarakat setempat melalui pendekatan santai dan mesra.
“Antara topik yang dibincangkan termasuk isu keselamatan komuniti, pencegahan jenayah serta kepentingan kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya.
Selain itu, program ini turut memberi kesedaran mengenai jenayah komersil yang semakin meningkat, khususnya penipuan dalam talian.
Orang ramai diberi penerangan mengenai kepentingan menyemak akaun dan nombor telefon mencurigakan melalui platform SemakMule (https://semakmule.rmp.gov.my), serta peranan Talian 997 – National Scam Response Centre (NSRC) sebagai saluran rasmi untuk membuat laporan segera sekiranya menjadi mangsa penipuan kewangan.
DSP Liong menegaskan inisiatif seperti ini diadakan bagi meningkatkan kepercayaan dan keyakinan orang awam terhadap PDRM, serta memperkukuh semangat Polis Komuniti, yang menekankan kerjasama dua hala antara polis dan masyarakat.
“Aktiviti sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan hubungan baik antara pihak polis dan komuniti setempat terus terjalin serta menjadi platform untuk menyalurkan maklumat dan nasihat keselamatan kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh Adeng Edrus