
SIBU: Polis sedang giat memburu seorang tahanan yang melarikan diri dari jagaan sah di bawah undang-undang di Balai Polis Sentral Sibu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, berkata individu terbabit masih dalam tempoh reman bagi siasatan kes rogol mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
“Tahanan masih memakai baju dan seluar lokap polis berwarna ungu serta masih bergari semasa melarikan diri di Balai Polis Sentral,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tegasnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.
“Satu Operasi Kesan telah dilancarkan sekitar 4.00 petang semalam, melibatkan semua elemen polis untuk mengesan dan menahan semula suspek,” katanya.
Polis turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek agar menghubungi ASP Mingat Bakil di talian 084-344111 atau 019-8867978 atau hadir ke balai polis berdekatan.
Oleh Akun Giman