
BETONG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap pemilik akaun Facebook Ucu Lana Nangga Meluan berhubung satu komen yang tular di media sosial pada 4 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek, berkata setakat ini sebanyak 25 laporan polis telah dibuat di seluruh negeri terhadap pemilik akaun berkenaan berkaitan komen yang dimuat naiknya.
Menurut beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dipercayai mengandungi unsur hasutan yang boleh membangkitkan kebencian, penghinaan dan perasaan tidak harmoni antara kaum serta masyarakat.
“Komen berkenaan juga berpotensi mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
DSP Wan Mohamad Ali turut memaklumkan bahawa pada 15 Disember, sekitar 10.30 malam, seorang lelaki berusia 46 tahun telah ditahan di Jalan Laichee, Sibu bagi membantu siasatan kes tersebut.
Tambah beliau, permohonan reman telah dibuat dan diluluskan selama empat hari sehingga 20 Disember ini bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
Sehubungan itu, PDRM menasihatkan orang ramai supaya menggunakan platform media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab, selain mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
“Sebarang penyalahgunaan media sosial yang boleh menjejaskan keselamatan serta keharmonian negara akan diambil tindakan tegas,” tegasnya.
Oleh Adi Safarman