
SARATOK: Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya atau terus menyebarkan gambar tular di media sosial kononnya pesawat pengebom B-2 milik Tentera Udara Amerika Syarikat (U.S Air Force) kelihatan terbang di ruang udara di sebuah rumah panjang di Saratok baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata pihaknya mengesan satu ciapan dalam Malay Mail bertarikh 13 Julai yang merujuk kepada kiriman seorang pengguna Reddit dikenali sebagai Anubiroz.
Imej yang dikongsikan dalam forum Reddit itu didakwa merakam kelibat sebuah pesawat pengebom B-2 Spirit di ruang udara berhampiran sebuah rumah panjang di Saratok.
“Pemerhatian awal mendapati imej tersebut kelihatan menyerupai pesawat pengebom B-2 yang sedang terbang, namun kesahihan gambar tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan rapi sedang dijalankan melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti sama ada benar berlaku pencerobohan ruang udara atau sekadar penyebaran maklumat palsu yang boleh mencetuskan kegusaran awam.
Tambah beliau lagi, siasatan turut menjurus kepada lokasi sebenar gambar dirakam, identiti individu yang memuat naik imej serta motif penyebarannya.
“Kami (polis) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu dan menyebabkan ketakutan dalam kalangan masyarakat. Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tegasnya.
Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang belum disahkan dan dinasihatkan untuk tidak berkongsi bahan yang boleh menimbulkan panik awam.
Mathew turut menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat lanjut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Polis Daerah Saratok di talian 012-8854849.
Oleh Adi Safarman