BINTULU: Enam suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian letupan yang tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi satu minit 33 saat.
Video tersebut memaparkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan tiga individu berpakaian serba hitam, keluar dari sebuah kenderaan dan melemparkan objek ke arah sebuah rumah, mengakibatkan bunyi letupan kuat diikuti dengan nyalaan api.
Bertindak atas maklumat, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu melancarkan Operasi Khas dan berjaya menahan kesemua suspek sekitar jam 4.11 petang, kurang daripada 24 jam selepas insiden.
Pihak polis turut merampas sebuah kenderaan, beberapa unit telefon bimbit, dan pakaian yang dipercayai digunakan suspek untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendent Nixon Joshua Ali berkata, semua suspek akan dipohon reman dan disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK).
“Semakan mendapati suspek memiliki 15 rekod jenayah lampau termasuk kesalahan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang cuba membangkitkan isu sensitif,” katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Lai Mei Ching, di talian 014-8763824 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.