ADI SAFARMAN
PADAWAN: Tangkap dan dakwa, itu yang akan dilakukan terhadap pihak yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga yang telah bermula 15 April (semalam).
Ketua Polis Daerah Padawan, Supritenden Aidil Bolhassan, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak tegas tanpa kompromi terhadap mereka yang masih ingkar.
Katanya, pesalah akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
“Bagi kesalahan kedua bawah akta ini ia membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya.
“Mulai semalam pihak polis tidak lagi berkompromi dan akan mengambil tindakan yang keras dan (mereka) akan dihadapkan terus ke mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan kepada media semalam.
Aidil berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan selama ini telah memberi nasihat, teguran, amaran dan kini bagi Fasa ke tiga jika tidak patuhi PKP tindakan tangkap akan terus diambil.
Tambahnya, mulai hari ini (semalam) pihaknya akan meningkatkan tangkapan dan mengheret pesalah ke mahkamah.
“Memasuki fasa tiga PKP, polis akan mengurangkan tindakan kompaun sebaliknya akan meningkatkan tangkapan seperti yang dilaksanakan dalam PKP fasa satu.
“Polis akan tangkap dan tuduh di mahkamah dan mereka yang terbabit boleh dijatuhkan hukuman penjara dan atau denda,” ujarnya.
Aidil berkata, walaupun kadar pematuhan PKP di negeri ini tinggi, masih ada segelintir yang degil dan keluar rumah tanpa alasan munasabah.
Dalam tempoh sama, sehingga semalam seramai lapan orang ditangkap atas kesalahan PKP yang dilaksanakan bagi memutuskan rantaian Covid-19 di daerah Padawan.
Beliau juga turut memberi nasihat agar semua masyarakat umum menjadi masyarakat yang bertanggungjawab, sematkan dihati masing-masing Stop Covid 19, sayangi diri, keluarga dan orang sekeliling.