Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Polis berjaya pastikan dua perhimpunan di Sabah berlangsung aman
  • SEMASA

Polis berjaya pastikan dua perhimpunan di Sabah berlangsung aman

Utusan Sarawak 4 months ago

KOTA KINABALU: Kecekapan pihak polis mengawal perhimpunan Gempur Rasuah Sabah dan Himpunan Bangkit Sabahan yang berlangsung serentak, berjaya memastikan kedua-dua perhimpunan itu berlangsung dalam keadaan aman di sini hari ini.

Kedua-dua perhimpunan itu dijadualkan berlangsung di tempat dan masa yang sama iaitu di hadapan Menara Kinabalu pada 2 petang malah turut berlangsung Karnival Ria di kawasan sama hari ini.

Bagaimanapun pihak polis antaranya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu serta Batalion 16 dan 21 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya memastikan tiga acara itu tidak bertembung antara satu sama lain yang dikhuatiri boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Terdahulu, kira-kira 200 peserta perhimpunan Gempur Rasuah Sabah anjuran Suara Mahasiswa  berkumpul di hadapan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebelum berarak kira-kira 3.4 kilometer dan tiba di hadapan Menara Kinabalu pada 3.10 petang.

Pasukan polis menghalang peserta untuk memasuki kawasan hadapan Menara Kinabalu kerana pelbagai acara sempena Karnival Ria yang dianjurkan kerajaan Sabah sedang berlangsung dan peserta dinasihatkan untuk melakukan aktiviti mereka secara aman.

Kira-kira 15 minit kemudian peserta Himpunan Bangkit Sabahan terdiri daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tiba di kawasan sama yang terlebih dahulu dihalang pihak polis dan dua kumpulan itu dipisahkan hanya dalam jarak kira-kira 100 meter.

Kedua-dua kumpulan itu kemudian masing-masing mengadakan ceramah menggunakan pembesar suara dan menaikkan sepanduk serta bendera, sambil diawasi pasukan polis dengan ketat.

Peserta dalam perhimpunan Gempur Rasuah Sabah menyuarakan kebimbangan mereka mengenai gejala rasuah di Sabah manakala Himpunan Bangkit Sabahan pula menyuarakan kebimbangan terhadap anasir yang cuba mengganggu-gugat ketenteraman awam di negeri ini, selain menyokong kerajaan negeri masa ini. 

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda antara yang dilihat sibuk mengurus pergerakan anggota polis namun sempat berbual seketika dengan pengamal media selain memberi nasihat supaya menjaga keselamatan.

Beliau bagaimanapun enggan ditemu bual dan memohon ruang untuk menyelesaikan tugasnya.

Presiden Suara Mahasiswa Muhamad Fadhil Kasim berkata ketika tiba di kawasan itu mereka awalnya terkejut dengan kawalan ketat pihak polis, namun keadaan terkawal dan mereka berhimpun secara aman di kawasan itu.

“Pihak polis bukan lawan kami, mereka juga rakyat sama seperti kami. Kami hanya ingin menyatakan suara menentang rasuah dan korupsi,” katanya ketika ditemui pemberita pada perhimpunan itu.

Peserta Himpunan Bangkit Sabahan kemudian bersurai kira-kira sejam selepas berhimpun manakala peserta perhimpunan Gempur Rasuah Sabah masih berada di kawasan terbabit ketika berita ini ditulis.

— BERNAMA

Continue Reading

Previous: TYT minta rakyat berwaspada musim tengkujuh
Next: Ribuan banjiri sambutan Ambang 2025, persembahan Hetty Koes Endang turut memukau

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.