BAU: Polis sedang menyiasat satu kes pecah rumah di Kampung Pejiru yang melibatkan kehilangan kira-kira 40 meter wayar elektrik dengan anggaran kerugian sekitar RM200.
Ketua Polis Daerah Bau Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata kejadian itu disedari kira-kira 10.30 pagi pada 5 Ogos apabila pemilik rumah berusia 72 tahun datang ke rumahnya di Lot 139, Kampung Pejiru, KM10 Jalan Bau-Serikin.
“Pengadu dimaklumkan oleh pekerjanya bahawa rumah tersebut tidak mempunyai bekalan elektrik. Pemeriksaan kemudian mendapati kira-kira 40 meter wayar elektrik di dalam rumah telah dipotong dan dicuri,” katanya.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati pintu belakang rumah yang dikunci menggunakan wayar kunci basikal telah dipotong dan dipercayai menjadi laluan suspek memasuki rumah.
Menurutnya, kali terakhir pengadu berada di rumah tersebut ialah pada 3 Ogos bagi memantau kerja mengecat rumah dan ketika itu bekalan elektrik masih berfungsi.
“Rumah berkenaan hanya digunakan untuk berehat bersama keluarga pada hujung minggu. Rumah itu juga tidak berpagar, tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada saksi yang melihat kejadian,” katanya.
Beliau berkata pegawai penyiasat telah merakam percakapan pengadu, melawat lokasi kejadian, mengambil gambar serta menjalankan pemeriksaan cap jari, namun tiada cap jari yang boleh digunakan ditemui.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan
Oleh Connie Chieng





