BAU: Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Bau mengadakan Program Ceramah Pencegahan Jenayah Komersial kepada 15 guru dan kakitangan serta 65 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Podam, semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman berkata, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran warga sekolah mengenai trend terkini jenayah komersial, termasuk penipuan telefon, penipuan e-dagang, ‘love scam’, keldai akaun, pinjaman tidak wujud dan penipuan pembayaran QRPay.
Menurutnya, peserta turut diperkenalkan kepada saluran serta perkhidmatan pencegahan seperti Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997, Whoscall dan Semak Mule.
“Program berlangsung dengan lancar serta mendapat sambutan dan maklum balas positif daripada warga SK Podam,” katanya.
Mohd Haide turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap jenayah penipuan serta membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang pembayaran atau berkongsi maklumat peribadi dan perbankan.
“Jadilah bijak dan sentiasa berwaspada,” katanya.
Oleh Connie Chieng




