

BAU: Polis Bau telah menjalankan Operasi Bersepadu Mingguan Cegah Jenayah dari 8.00 pagi hingga 3.00 pagi bagi memperkukuh usaha pencegahan jenayah serta meningkatkan kehadiran polis di kawasan dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata operasi tersebut melibatkan seramai 13 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bau.
Menurut beliau, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada rondaan cegah jenayah atau Ronda Bit di sekitar Pekan Bau serta pemeriksaan mengejut di Jalan Suba Buan.
“Hasil operasi mendapati sebanyak 39 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa, selain pemeriksaan ke atas 40 orang awam tempatan yang terdiri daripada 27 lelaki dan 13 wanita,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang operasi tersebut, sebanyak sembilan saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.
Tambah beliau, Operasi Bersepadu Cegah Jenayah itu dilaksanakan bagi meningkatkan kehadiran anggota polis serta memperkukuh usaha pencegahan jenayah di lokasi yang dikenal pasti.
Oleh Connie Chieng